Tahun 2007 cukup bersejarah dalam perkembangan pendidikan di negara ini. Malaysia telah memasuki fasa negara maju dengan pendidikan mendahului sektor lain.
Malah Malaysia ternyata bergerak lebih pantas dan merancang dengan lebih baik berbanding negara lain - malah negara maju sekalipun - dari segi kesejahteraan dan kesaksamaan ekuiti pendidikan apabila mengisytihar pendidikan percuma untuk semua.
Secara tidak langsung Malaysia telah menyempurnakan syarat pendidikan wajib untuk semua warga Malaysia - tetapi masih tidak dikuatkuasakan atas budi bicara dan sikap toleransi kerajaan.
Sebenarnya `satu dunia' memang telah memaklumi bahawa Malaysia adalah negara terbaik dari segi bilangan rakyatnya yang mendapat pendidikan peringkat persekolahan.
Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) yang mula dilaksanakan pada 1975 akan percuma sepenuhnya pada tahun depan - walaupun bukan dalam bentuk e-buku sepertimana yang pernah dirancangkan sepertimana sebelum ini kerana kos yang jauh lebih tinggi.
Begitu juga yuran percuma untuk semua adalah bukti bahawa kerajaan telah mengotakan janjinya dalam usaha mendemokrasikan pendidikan.
Sedikit keuntungan yang diperolehi dikongsi secara saksama.
Buat pertama kalinya, sejak dua kementerian dipecahkan, pendidikan di peringkat persekolahan menjadi lebih berfokus dan mempunyai hala tuju yang jelas.
Lapan prinsip bekerja yang digariskan oleh Menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga cukup jelas, iaitu:
I. Pertama, kejayaan sesuatu dasar amat bergantung kepada bagaimana ia diterjemahkan ke dalam pelan tindakan, strategi, kesungguhan dan kesatuan dalam tindakan untuk melaksanakannya. Suatu dasar yang baik sekalipun berkemungkinan gagal atau menjadi kurang berkesan sekiranya disalahterjemahkan serta tidak disokong oleh pelan pelaksanaan yang tepat. II. Penyelarasan dan kerjasama berpasukan sangat penting untuk mengelakkan sebarang pertindihan dan pembaziran. Kementerian Pelajaran tidak boleh bekerja secara sendiri dengan mengambil haluan tersendiri sebaliknya usaha kita wajar mengambil kira (leverage) dan bersinergi dengan usaha pihak-pihak lain bagi memastikan pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.
III. Input Kementerian Pelajaran sangat penting bagi memastikan kejayaan program dan projek pendidikan kerana kementerian itu merupakan pihak yang paling memahami tentang dasar, kemampuan dan keterbatasan untuk melaksanakan program dan projek pendidikan.
Kementerian Pelajaran juga merupakan pihak yang paling mengetahui tentang apa yang mereka telah laksanakan sebelum ini dan yang hendak dilaksanakan pada masa hadapan.
IV. Kementerian Pelajaran tidak boleh menyelesaikan semua masalah dan isu kerana terdapat isu dan masalah yang penyelesaiannya berada di luar kepakaran, di luar batas tugas atau di luar bidang kuasanya. Justeru, kementerian itu perlu membangunkan mekanisme yang berkesan bagi mendapatkan kerjasama dari pihak yang mempunyai kepakaran dan diberi kuasa untuk menyelesaikan isu atau masalah tersebut.
V. Kepemimpinan di setiap peringkat, baik di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Bahagian, Jabatan dan peringkat tertinggi KPM amat penting dalam melaksanakan semua dasar pendidikan. Adalah penting untuk memastikan kepemimpinan di setiap peringkat ini memahami kehendak dasar, keperluan masa kini dan cabaran masa hadapan kementerian.
VI. Keterbukaan terhadap idea baru dan keterbukaan terhadap bentuk baru perkongsian pintar amat penting. Malaysia perlu belajar dari pengalaman pihak dan negara lain, dan sensitif terhadap setiap perkembangan terbaru serta kehendak dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.
VII. Berani mencuba idea-idea baru, bagaimanapun sesuatu idea itu untuk berjaya adalah lebih baik sekiranya ia dicuba, dirintis dan diuji terlebih dahulu untuk memahami setiap masalah yang bakal timbul sebelum dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan peruntukan dan keupayaan yang ada. Oleh sebab sumber yang terhad, kementerian itu perlu menentukan keutamaan sesuatu program baru dan mengukur aspek kos dan faedahnya dengan teliti terlebih dahulu sebelum melaksanakannya
VIII. Bagi memastikan kejayaan program-program pendidikan yang telah dirancang, ia perlu disokong dengan sumber yang mencukupi dari segi tenaga, peruntukan kewangan dan kepakaran. Semua pihak perlu menetapkan penanda aras dan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang tepat dan jelas dalam setiap agenda, program dan projek kita.
Pelan induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ialah dokumen yang bakal menjadi titik tolak kepada masa depan pendidikan negara.